Tribute untuk Ibu Tersayang, Wan Rahimah Binti Wan Yussuf . Alhamdulillah....Ibu ku masih lagi sihat hingga sekarang! Anakmu ini selalu mendoakan kesihatan kamu. Percayalah, aku mengingati dan membayangkan kamu dalam setiap nafas ku walaupun tidak pernah terzahir dgn kata2 yang anakmu ini amat menyayangi mu.
Sebenarnya, cerpen ini telah lama di tulis. Banyak karya2 aku telah musnah coz hardisk aku rosak. Dan ini antaranyer yang terselamat, coz aku tulis cerpen nih kat atas kertas.
1
Dingin angin malam, menerjah masuk melalui tingkap-tingkap kaca yang ternganga luas. Aku gagahkan jua kaki yang amat berat untuk melangkah dalam kelesuan, menuju ke tepi sudut tingkap. Dingin angin malam yang bertiup manja, menerbangkan langsir-langsir hijau lalu menampar lembut pipiku seraya aku menyentuh birai tingkap. Sudah menjadi resmi alam, siang yang berlabuh, digantikan dengan tirai malam yang menggelapkan langit luas yang indah. Aku donggakkan kepala yang penuh dengan kekusutan memandang jutaan bintang yang berkedipan di muka langit. Betapa indahnya ciptaan Allah Yang Maha Agung, simbahan cahaya bulan purnama yang menerangi langit dalam suram, menyerikan lagi keindahan malam. Dingin angin malam, masih lagi bertiup seirama dengan kesunyian malam yang sepi sesepinya. Sesekali, bunyi motosikal yang lalu lalang, memecahkan kesepian malam.
Aku menarik selimut biru yang utuh tersimpang di bahu, menyelimuti sebahagian tubuh kering yang dicucuk tajam denagn penuh bisa olehh dingin angin malam. Kesejukkannya, amat terasa bisa mencucuk tulang sum-sumku. Siang yang telah berlabuh, menitipkan tirai-tirai kenangan indah yang berlalu, kenangan indah yang mungkin tidak dapat aku ulangi kembali sepanjang perjalanan hidup ini. Lagu inggeris yang bertajuk “If I Laugh” dendangan Cat Steven, berlagu merdu dari corong radio Pensonic kepunyaan teman sebilikku, Halim. Jam Quartz yang tergantung segak di dinding bercat hijau lembut, menunjukkan tepat pukul tiga pagi. Amat sukar untuk aku menutupkan pintu-pintu mata yang masih liar berkedip-kedip mengamati keindahan jutaaan bintang yang bergemelapan di langit hitam. Sesekali kertas-kertas nota “Liability” yang di beri Mr Tan Liam Seng pagi tadi, berselerakan di atas lantai, terjun dari meja yang terletak di tepi sudut tingkap dek tiupan angin malam. Peristiwa semalam, menggamit semula dalam jiwa yang resah. Titis jernih dari kelopak mata yang lesu, menuruni laju lurah pipi.
“Fazriq, Ibu disahkan menghidap barah otak pada tahap kritikal”. Kata-kata abah masih lagi terngiang-ngiang di gegendang telinga. Terasa gugur jantung ini apabila mendengar penjelasan Abah di Hospital semalam. Aku tak menyangka, sakit kepala yang ibu alami selama ini adalah petanda-petanda penyakit yang maha bahaya ini. Sebelum ini, aku hanya melihat di kaca televisyen sahaja penderitaan penghidapnya. Tetapi, kini ibu yang aku amat sayangi akan menganggung penderitaan itu. Menurut kata Abah, ketumbuhan yang terletak pada bahagian kanan otak ibu semakin membesar, sehingga menyekat arteri yang menyalurkan darah pada otak. Itulah yang menyebabkan Ibu pengsan di tikar sembahyang pagi semalam. Mujurlah, abah memang bercuti pada hari itu. Kalau tidak, aku tidak dapat membayangkan apa yang telah terjadi pada ibu hari itu.
Dunia terasa gelap. Tidak dapat membayangkan kehidupan ini tanpa ibu. Ibu adalah segala-galanya bagi aku. Biarkanlah aku yang menangung derita itu ibu, biarkanlah aku ibu. Aku tidak sanggup melihat ibu menderita, dan aku juga tidak sanggup melihat ibu yang aku sayangi akan pergi meninggalkan aku.
Aku masih belum puas bermanja dengan ibu, dan kini ibu bakal meninggalkan aku buat selama-lamanya. Namun, aku redha dan akur akan kehendak takdir Ilahi. Daripada Dia Ibu datang, kepadaNya jua Ibu akan kembali. Ibu milikNya, dan aku jua milikNya, dan Dia punyai hak yang mutlak untuk mengambil Ibu kembali bila-bila masa yang di kehendakiNya. Semuanya jelas termaktub dalam kitab suci Al-Quran Nur Qarim. Kini segala-galanya terserah pada qada’ dan qadar Allah s.w.t. Aku hanya mampu memanjatkan doa pada Allah, memohon supaya di ampunkan dosa-dosa ibu dan di panjangkan umurnya. Barah yang ibu alami sudah berada pada tahap terminal, sudah amat terlewat untuk ibu menjalani pembedahan.
Aku melayangkan fikiranku ke langit nan tinggi. Segalanya berputar ligat dalam penghayatan malam. Harapan ibu untuk melihat aku menggendong pulang segulung ijazah. Mungkin tidak sempat aku tunaikan, kian musnah, lemas dalam tangisan malam yg sepi. Wajah yg ibu yang penuh dgn harapan, silih berganti menjelma dalam bayangan tangisan.
Azan subuh yang berkumandang dari Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, mengejutkan aku dari lamunan yg panjang. Begitu cepat masa berlalu meninggalkan aku, sedar tak sedar sudah dua jam setengah aku termenung di birai tingkap. Menara masjid yang di hiasi neon indah berkedipan, dapat aku lihat dengan jelas dari tingkap bilik walaupun jaraknya beberapa kilometer dari Kolej Jati tempat aku tumpang berteduh semester ini. Di puncaknya, terpatri lambang bulan dan bintang yang menjadi lambang rasmi kesucian agama islam. Segera aku langkahkan kaki mencapai tuala putih yang tergantung di birai katil menuju ke bilik air.
Aku hamparkan sejadah cenderamata dari ibu yang di belinya sewaktu menunaikan umrah tahun yang lalu. Masih terngiang-ngiang lagi kata ibu “Fazriq, jangan lupa bawa sejadah ni. Solat itu tiang agama, sesibuk mana pun kita, jgn tinggalkan solat. Kerana solat itulah yang membentuk peribadi kita. Ibu nak, anak-anak ibu jadi anak yang soleh. Kerana itulah bekalan ibu di alam barzakh nanti”. Dengan rasa penuh keinsafan aku sujud memperhambakan diri pada Allah.
“Ya Allah, Ampunilah dosa-dosa ku, dosa-dosa kedua ibu bapa ku, Kasihilah mereka seperti mana mereka mengasihi ku sewaktu kecil. Ya Allah, andainya sudah tiba masanya untuk Engkau menjemput kembali ibu, berikanlah aku sedikit ruang waktu untuk bersama ibu Ya Allah. Engkau ringankan lah penderitaan ibu, Sembuhkanlah Ibu Ya Allah, kerana aku amat menyayangi ibu Ya Allah. Ya Allah, berikanlah ibu kekuatan untuk melawan penyakitnya, Engkau Tabahkan lah hati ibu Ya Allah. Engkau tabahkanlah hati Abah, engkau tabahkan lah hati aku untuk menharungi UjianMu ini Ya Allah.”
2
Hari ini, sudah masuk hari yang ketiga ibu tidak sedarkan diri di unit kawalan rapi. Sayu hati melihat ibu yang dipenuhi tiub dan wayar-wayar. Abah masih setia menemani Ibu, membuktikan keutuhan cinta dan kasih sayangnya pada Ibu. Jelas nampak kelesuan dan keletihan terpancar pada wajah Abah, sudah beberapa kali Abang nasihatkan supaya Abah pulang berehat di rumah, dan kami adik beradik boleh bergilir-gilir menemani ibu. Tetapi,Abah tetap berdegil. Ikutkan rasa hati, mahu sahaja aku bersama Abah menemani Ibu, peraturan Unit Rawatan Rapi yang hanya menghadkan seorang penjaga sahaja untuk satu pesakit, membataskan segalanya. Aku bangga mempunyai seorang bapa seperti Abah, aku juga turut berbangga buat ibu mempunyai seorang suami yang setia menemaninya.
Menurut Abah, hari ini Ibu telah menunjukkan tindak balas. Jari-jemarinya bergerak-gerak bila Abah bercakap dengan nya. Aku genggam erat tangan Ibu yang pernah memandikan aku, memimpin aku bertatih, menyuapkan makan minum aku, mendodoikan aku dan tangan yang telah membesarkan aku. Aku kucup tangan yang tidak pernah menyakiti aku. Ibu, bangunlah ibu, aku rindukan belaian tangan mu. Loceng telah berbunyi, menunjukkan waktu melawat sudah tamat. Aku harus meninggalkan ibu. Aku peluk Abah erat-erat, aku kucup pipi ibu yang masih kaku. Berat rasanya kaki ini melangkah meninggalkan ibu.
Kepulangan aku ke kolej malam itu, di sambut ceria oleh Halim yang baru sahaja pulang dari Bukit Fraser.
” Baru balik Faz ? Kau dari mana?”
” Erm, dari Plaza Alam Sentral, tadi pergi survey laptop.”
” So, macam mane ? Dah dapat laptop yang ok ? “
Aku hanya membisu. Tidak menjawab pertanyaan Halim. Seperti biasa, sekembalinya Halim dari mana-mana tempat rombongan atau kursus. Dia tidak akan henti-henti menceritakan keindahan tempat tersebut sambil menunjukkan beberapa keping gambar yang sempat di rakamnya.
” Ko serius ko ok Faz ? Aku nampak ko macam ada problem jer ? Macam laki mati bini, macam ayam berak kapur pun ada. “
” Tak ada apa-apalah Halim. Aku penat jer ” Sengaja aku sembunyikan dari Halim pekara yang sebenarnya.
Halim mencelah, mungkin menyedari perubahan mood aku pada malam itu. Aku di kenali sebagai seorang yang happy go-lucky , humor, suka ketawa dan membuat orang lain ceria dengan lawak-lawak bodoh aku. Tetapi, aku akan menjadi seorang yang amat matang bila bersama seseorang yang aku cintai. Kematangan itulah yang menjadi punca perpisahan aku dengan Maya, seorang gadis manis yang pernah menyinggah di hati. Jauh di lubuk hati aku menginginkan perpisahan itu. Tetapi, untuk kebaikan aku dan Maya, aku rela lepaskan Maya. Sejak dari itu jugalah, pintu hati ini telah tertutup untuk mencintai seorang wanita melainkan ibu. Mengikut cerita beberapa kawan rapat Maya, Maya telah mengikat tali pertunangan dengan seorang jejaka pilihan hatinya. Mungkin juga kerana sikap keras kepala dan keegoan aku yang telah memutuskan perhubungan itu. Namun, hati aku ini masih lagi punyai ruang untuk Maya, andainya dia mahu kembali pada aku.
” Woi, mengelamun jer kau nih, jiwang karat betul. Dah pukul 1.00 pagi dah, pegi tidur la. Esok nak pegi kelas lagi ”
” Sibuk, kacau line jer kau nih. Orang nak jiwang sikit pun tak boleh “
3
Ibu seorang wanita yang sungguh tabah. Hanya sekali sahaja aku pernah melihat ibu mengalirkan air mata, iaitu sewaktu Arwah Nenek (ibu kpd ibuku) meninggal dunia 10 tahun lepas. Aku tahu, ibu cukup sedih pada waktu itu kerana telah kehilangan seorang wanita yang telah banyak mencurahkan kasih sayang pada beliau. Aku juga turut mengalirkan airmata, walaupon aku masih lagi kecil pada waktu itu, aku dapat merasakan kehilangan seperti mana yang Ibu rasakan. Mungkin kerana Ibu anak bongsu, dan banyak mendapatkan curahan kasih sayang dari arwah Nenek. Hanya Arwah Nenek sahaja lah yang Ibu ada. Menurut Ibu, bapa Ibu telah meninggal dunia sewaktu Ibu masih kecil lagi. Mungkin kerana itulah pemergian arwah Nenek cukup meninggalkan kesan pada Ibu. Neneklah bapa, Nenek jualah ibu pada Ibu. Sungguh tabah arwah Nenek membesarkan Ibu tanpa suami di sisi. Ibu juga tabah mengharungi usia kanak kanak tanpa kehadiran seorang bapa yang di gelarkan Ayah.
Jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi, sudah sampainya masa untuk aku melawat ibu. Inilah rutin ku setiap hari sejak ibu di masukkan ke wad dua minggu lalu. Wajah Ibu semakin cengkung. Tidak banyak kata kata yang keluar dari mulut sejak Ibu mula sedarkan diri dua hari yang lalu. Sesungguhnya, aku amat merindui leteran dari Ibu, leteran dari ibu mengingatkan aku yang selalu menangguhkan waktu solat. Leteran dari Ibu yang selalu mengingatkan aku untuk mengulangkaji pelajaran. Dan, yang paling aku rindukan sebenarnya adalah melihat Ibu seperti dahulu. Ya, seperti waktu waktu dahulu. Sewaktu aku masih kecil, sewaktu aku di bangku sekolah rendah, sewaktu ibu menyikat rambutku setiap pagi, sewaktu aku tidur di atas peha Ibu ketika menonton Televisyen dan Ibu mendukung ku ke kamar tidur. Sungguh aku merindui saat saat bersama Ibu waktu itu.
Aku genggam erat tangan ibu sambil mengusap lembut dahi ibu. Seperti Ibu mengusap dahiku sewaktu aku demam tidak lama dahulu. Tapi, aku tidak setabah Ibu. Air mata yang aku tahan selama ini akhirnya terlerai jatuh juga di depan Ibu. Ibu masih gagah, mampu lagi mengusap air mata ku pada ketika ini sambil tersenyum. Aku tahu, Ibu cuba menyembunyikan peritnya penderitaan yang ditanggungnya sekarang.
"Kenapa anak Ibu menangis? Kan Ibu ada di sini sayang."
Aku hanya membisu, tidak gagah seperti ibu untuk menuturkan kata kata pada waktu dan saat ini. Aku kucup tangan ibu.
" Anak Ibu kan gagah, lelaki yang gagah tak boleh menangis sayang "
Aku tinggalkan Ibu kerana terpaksa memberi giliran untuk adik beradik ku yang lain melawat Ibu.
To be cont
Jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi, sudah sampainya masa untuk aku melawat ibu. Inilah rutin ku setiap hari sejak ibu di masukkan ke wad dua minggu lalu. Wajah Ibu semakin cengkung. Tidak banyak kata kata yang keluar dari mulut sejak Ibu mula sedarkan diri dua hari yang lalu. Sesungguhnya, aku amat merindui leteran dari Ibu, leteran dari ibu mengingatkan aku yang selalu menangguhkan waktu solat. Leteran dari Ibu yang selalu mengingatkan aku untuk mengulangkaji pelajaran. Dan, yang paling aku rindukan sebenarnya adalah melihat Ibu seperti dahulu. Ya, seperti waktu waktu dahulu. Sewaktu aku masih kecil, sewaktu aku di bangku sekolah rendah, sewaktu ibu menyikat rambutku setiap pagi, sewaktu aku tidur di atas peha Ibu ketika menonton Televisyen dan Ibu mendukung ku ke kamar tidur. Sungguh aku merindui saat saat bersama Ibu waktu itu.
Aku genggam erat tangan ibu sambil mengusap lembut dahi ibu. Seperti Ibu mengusap dahiku sewaktu aku demam tidak lama dahulu. Tapi, aku tidak setabah Ibu. Air mata yang aku tahan selama ini akhirnya terlerai jatuh juga di depan Ibu. Ibu masih gagah, mampu lagi mengusap air mata ku pada ketika ini sambil tersenyum. Aku tahu, Ibu cuba menyembunyikan peritnya penderitaan yang ditanggungnya sekarang.
"Kenapa anak Ibu menangis? Kan Ibu ada di sini sayang."
Aku hanya membisu, tidak gagah seperti ibu untuk menuturkan kata kata pada waktu dan saat ini. Aku kucup tangan ibu.
" Anak Ibu kan gagah, lelaki yang gagah tak boleh menangis sayang "
Aku tinggalkan Ibu kerana terpaksa memberi giliran untuk adik beradik ku yang lain melawat Ibu.
To be cont
No comments:
Post a Comment